Rina Jordana Adnan menyarungkan bendera Selangor dan menunjukkan playkad yang ditandatangani oleh Dato’ Menteri Besar Selangor di Bagunanan Sultan Salahudin Abdul Azizi Shah, Shah Alam pada 13 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kakitangan MBSA mahu jadi wanita pertama Selangor tawan Everest

SHAH ALAM, 13 APRIL: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merupakan anak jati Selangor mahu menjadi wanita pertama negeri ini menawan puncak Gunung Everest.

Rina Jordana Adnan,42, berkata misi yang bakal dilaksanakan bersama sembilan lagi peserta dengan membawa semangat perpaduan itu akan bermula esok.

“Itu harapan saya. Sebagai anak Selangor saya mahu menyumbang sesuatu kepada negeri. Bila sampai puncak, saya mahu bendera Selangor berkibar megah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari, menyerahkan playkad yang telah ditandatangani dan menulis kata semangat kepada Rina Jordana Adnan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setakat ini tiga wanita tempatan, masing-masing berasal dari Pahang dan Terengganu berjaya menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia,” katanya.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar menyerahkan bendera Selangor kepada penolong pegawai belia dan sukan MBSA itu sebagai pembakar semangat.

Ketika serahan dilakukan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini, Dato’ Seri Amirudin Shari turut bertanya persediaan Rina bagi menawan puncak melebihi ketinggian 8,800 meter.

Bekas pesilat negara itu berkata memandangkan Aidilfiti akan disambut ketika sesi pendakian, beliau akan membawa sepasang baju tradisional untuk digayakan di kaki bukit.

“Sesi fotografi akan dilakukan di situ untuk dijadikan sebagai kenangan. Walaupun sambutan raya kali ini berbeza namun berharap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari, menandatangani dan menulis kata semangat kepada Rina Jordana Adnan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sembilan peserta lain ialah seorang orang kelainan upaya (OKU) pendengaran Muhammad Hawari Hashim, 31, tiga orang Komando VAT 69; Kanang Anak Usin, 42, ‘Pragash Murugesu, 32, dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.

Pendaki lain ialah Azim Afif Ishak, 33; Ayu Wanirah Naharuddin, 29; Ahmad Murshid Maktar, 35; Jack Oh Jin Heng, 37; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54.


Pengarang :