AGENDANASIONAL

Kanak-kanak empat tahun maut jatuh tingkat 18 kondominium

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut akibat terjatuh dari balkoni kediamannya di tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Danau Saujana 2, Setapak semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata polis menerima laporan mengenai kejadian di Blok B, Kondominium PV10 itu kira-kira 2 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dikatakan tidur bersendirian dan ibunya tiada di rumah, manakala penghuni lain di kediaman itu tidur di bilik masing-masing dan tidak mengetahui kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi ‘Hotline’ Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ashari menasihati orang ramai terutama ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan, kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

-BERNAMA


Pengarang :