Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Mohammad Sabri Saad pada 13 April 2022 bercakap ketika sidang media berkenaan barang yang berjaya dirampas JKDM Zon Tengah (WPKL) dalam Op Kontraban bulan lepas. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kastam patah cubaan seludup enam kontena minuman keras, cerut

PETALING JAYA, 14 APRIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup masuk enam kontena minuman keras dan cerut bernilai RM468,994 melibatkan cukai dan duti dianggarkan lebih RM5 juta menerusi dua rampasan pada Februari dan Mac lepas.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata dalam kedua-dua kes yang melibatkan pasukan Operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (Kuala Lumpur), didapati mempunyai maklumat dalam Bill of Lading yang tidak sama seperti diikrarkan pengimport sebelum memasuki negara.

Katanya kes pertama melibatkan lima kontena bersaiz 12.192 meter berisi minuman keras pada 2 Mac hingga 28 Mac lepas di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, dengan rampasan berisipadu 75,420.86 liter bernilai RM416,254 manakala cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM1,985,636.

“Minuman keras berjenama Tsingtao, Knight General, Southan, Lambo, Super X dan Harbin itu merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya di sini semalam.

Katanya pengimportan produk itu memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

“Minuman keras tersebut diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan barangan campur. Modus Operandi ini dipercayai sedang giat dilakukan terhadap kontena barangan campur yang memasuki pintu pelabuhan negara,” katanya.

Susulan itu, katanya lima orang wakil perkapalan telah dipanggil bagi membantu siasatan mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Mohammad Sabri berkata kes kedua melibatkan sebuah kontena bersaiz 6.096m bermuatan cerut berjenama menerusi Op Kontraban Unit 1 (Kuala Lumpur) di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 28 Februari lepas.

Menurutnya rampasan seberat 4,674 kilogram itu di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 itu dianggarkan bernilai RM52,740 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM3,090,114, dan kes turut disiasat bawah Akta Kastam 1967.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut bersama wakil perkapalan menemukan produk tembakau iaitu cerut disyaki tidak berkastam berjenama 22×22, iaitu pengimportannya memerlukan lesen import yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

“Kesemua barang rampasan diletakkan di bahagian belakang barangan campur seperti selipar getah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :