Kerja pembersihan pascabanjir dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM: Kerja pembersihan pascabah fasa dua selesai sepenuhnya

SHAH ALAM, 1 APR: Operasi pembersihan pascabanjir fasa kedua dijalankan KDEB Waste Management (KDEBWM) di lapan pihak berkuasa tempatan (PBR) yang terjejas telah selesai sepenuhnya.

Pengarah urusannya berkata lokasi meliputi Subang Jaya, Puchong, Kampung Sri Aman, Kampung Tengah dan Kampung Sungai Baru.

Menurut Ramli Mohd Tahir, kawasan lain membabitkan Kampung Kenangan, Sri Langkas, Taman Sri Muda, Taman Kinrara, Hulu Langat dan Klang.

“Dengan selesainya pembersihan fasa kedua ini yang melibatkan pembersihan longkang, jadual kutipan sisa pepejal berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Operasi pembersihan fasa kedua itu berjaya diselesaikan lebih awal berbanding jadual asal dengan jangkaan semua kerja di kawasan terkesan banjir pada Disember tahun lalu selesai sepenuhnya pada Mei nanti.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ramli berkata pihaknya akan terus memberi komitmen dalam mendepani sebarang kemungkinan yang berpotensi berlaku di Selangor.

KDEBWM merupakan syarikat Kerajaan Negeri yang mengurus kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Bermula 8 Januari, syarikat itu melaksanakan pembersihan fasa dua yang menumpukan pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).

Sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan kutipan domestik dan pembersihan, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol KDEBWM di 1-800-88-2824.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi iClean Selangor di Apple AppStore atau Google PlayStore.


Pengarang :