Pekerja KDEBWM melakukan kerja pembersihan di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 3 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM: Ramai balik kampung, kutipan sampah dijangka turun 30 peratus

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kutipan sampah domestik di Selangor dijangka menurun 30 peratus pada minggu pertama Syawal berikutan ramai perantau dari negeri ini pulang ke kampung untuk menyambut hari lebaran.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Mohd Ramli Tahir berkata unjuran itu mengambil kira ramai kalangan mereka yang tidak berpeluang meraikan Aidilfitri di kampung sejak dua tahun lalu.

“Kemungkinan dua juta daripada 6.5 juta rakyat di Selangor balik ke kampung halaman mulai esok untuk beraya, maka sampah dijana sepanjang minggu depan mungkin turun mendadak.

“Kebiasaannya kontraktor pembersihan mengutip antara 6,000 hingga 8,000 tan sampah sehari,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis iftar bersama media di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kutipan sampah domestik di negeri ini sepanjang Ramadan meningkat 25 peratus berbanding tahun lepas, majoriti sampah makanan.

“Kita menerima maklumat daripada petugas pembersihan di lapangan. Jadi, orang ramai perlu mengawal nafsu ketika berbelanja kerana akhirnya (makanan) akan pergi ke tong sampah.

“Pembaziran sampah makanan di bazar Ramadan ini adalah satu perkara yang amat menyedihkan,” katanya lagi.


Pengarang :