Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KDN aktifkan semula senarai individu tidak dibenar memasuki negara

LARUT, 3 APRIL: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan semula senarai individu yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana didapati melakukan kesalahan susulan pembukaan semula sempadan negara setelah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 2 April.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan negara berada di tahap terbaik.

“Kita tidak sebut dari negara mana tetapi ada senarai hitam yang kita sudah pun sediakan untuk memastikan bahawa mereka ini tidak dibenarkan masuk ke negara kita,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri Batu Kurau di sini semalam.

Beliau berkata agensi keselamatan telah diarahkan bersiap siaga sejak sebulan lepas bagi meningkatkan keselamatan di pintu masuk negara selepas Jemaah Menteri bersetuju membuka semula sempadan negara.

“Apa sahaja yang kita lakukan, kita mesti bersedia untuk memastikan keselamatan negara diutamakan kerana walaupun seseorang masuk secara normal bukan bermakna mereka tidak melakukan jenayah kerana ramai juga yang masuk ini cuba untuk melakukan jenayah dan melakukan sesuatu kesalahan dalam negara kita.

“Jadi kita dapat mempertahan bukan sahaja maruah negara tetapi keselamatan rakyat malah orang luar yang mahu memasuki Malaysia juga berasa lega bahawa ini sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Ditanya sama ada Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan perlu dikaji semula, Hamzah berkata KDN menerusi jawatankuasa khas sentiasa mengkaji senarai individu yang melakukan kesalahan termasuk ekstremisme serta dan terorisme bagi memastikan senarai itu adalah relevan dari semasa ke semasa.

Katanya pihak berkuasa turut mengetatkan kawalan sempadan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan terutama dadah dan mana-mana individu yang didapati cuba menyeludup bahan terlarang akan ditangkap untuk didakwa tanpa kompromi.

Mengulas Memorandum Persefahaman Bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) yang dimeterai antara Malaysia dan Indonesia, Hamzah berkata permohonan untuk mendapatkan pembantu rumah warga asing hendaklah dibuat mengikut undang-undang.

“Kita akan menangkap sesiapa sahaja yang menyalahi undang-undang, bukan hanya orang luar yang masuk ke sini tetapi orang dalam negara yang mungkin menjadikan pembantu rumah sebagai mangsa akan ditangkap dan dikenakan hukuman,” katanya.

Pada sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo berkata MoU itu akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak yang berkaitan mengikut dasar serta perundangan di kedua-dua negara.

– BERNAMA


Pengarang :