KWSP mengumumkan permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 dibuka kepada ahli bawah umur 55 tahun mulai 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keluaran khas KWSP, ahli ekonomi bimbang kesan kewangan jangka panjang

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kemudahan pengeluaran khas keempat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akhirnya dibenarkan oleh kerajaan telah menerima pelbagai reaksi yang berbeza-beza daripada lapisan masyarakat.

Segelintir warga berpandangan penggunaan berterusan simpanan KWSP dalam tempoh mencabar telah menjejaskan tujuan utama penubuhan dana persaraan itu, dan tidak kurang pula kalangan yang berhujah bahawa penggunaan ketika waktu kecemasan seharusnya dibenarkan.

Ekonomi Malaysia telah terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19, dengan kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020.

Impak ke atas ekonomi reda kemudiannya dan kadar pengangguran susut kepada 4.3 peratus pada suku keempat 2021 — paras terendah sejak pandemik melanda — memandangkan permintaan terhadap tenaga kerja meningkat sepanjang tempoh pemulihan.

Bagi Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk William Ng, sebarang mudah tunai tambahan dalam pasaran sudah pasti akan membantu meningkatkan jualan, terutama untuk segmen runcit.

Namun, kemudahan itu sewajarnya menjadi pengeluaran terakhir memandangkan ekonomi sedang berada dalam situasi pemulihan dan angka pengangguran bulanan negara semakin berkurangan, katanya.

“Isu yang lebih luas adalah kos inflasi, dengan kos buruh, logistik dan bahan mentah meningkat 20 hingga 40 peratus dalam tempoh enam bulan lepas,” katanya.

Beliau menegaskan tumpuan utama kerajaan seharusnya ke arah mengurangkan karenah birokrasi, terutama dalam pengambilan semula pekerja asing untuk pekerjaan bernilai tambah rendah yang tidak diminati rakyat tempatan.

Kerajaan juga perlu memperkemas proses kelulusan permit dan lesen, dan secara amnya mengurangkan atau melonggarkan beban kawal selia kerana perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedang pulih daripada kesan pandemik, katanya.

“Ini seterusnya akan mengurangkan kos dan tekanan operasi syarikat dan memastikan tiada perbelanjaan tambahan dilepaskan kepada pengguna,” katanya.

Orang ramai hadir bagi mendapatkan penyata akaun ketika tinjauan foto Bernama di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Shah Alam, Seksyen 15 pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA

Keputusan tepat?

Ahli Ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi yang turut senada, mengemukakan pertanyaan sama ada kebenaran Putrajaya bagi pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 itu merupakan satu tindakan yang wajar, dengan mempertimbangkan bahawa dana itu bertujuan menanggung perbelanjaan kehidupan persaraan pencarumnya.

“Ia memusnahkan KWSP sebagai sebuah institusi, sebuah institusi yang menunjukkan prestasi yang mengagumkan.

“Di samping itu, berdasarkan saiz dana tersebut, tindakan ini akan memberi kesan kepada keseluruhan pasaran kewangan negara, termasuk kos pinjaman kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai mata pencarian rakyat Malaysia dengan menyatakan bahawa satu generasi rakyat Malaysia akan keluar daripada pasaran kerja tanpa apa-apa dalam dekad akan datang.

“Lebih enam juta pemegang akaun KWSP tidak mempunyai walaupun RM10,000 dalam akaun mereka dan kira-kira dua juta mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka. Jika apa-apa berlaku, mereka inilah pihak yang benar-benar memerlukan bantuan. Bagaimana ini membantu mereka?,” katanya.

Bagaimanapun, KWSP telah mengumumkan bahawa ia menyasar untuk memberi tumpuan kepada usaha membantu ahli meningkatkan semula simpanan demi masa depan persaraan mereka.

Ini memandangkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan oleh lebih 7.4 juta ahli, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan ahli KWSP menerusi skim pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Walaupun ia menyediakan sokongan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan tempoh perintah kawalan pergerakan, pengeluaran ini telah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, daripada jumlah itu 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000.

Ini membuatkan mereka mudah terjejas dan tidak dilindungi semasa persaraan mereka kelak.

Nungsari bagaimanapun menyokong usaha kerajaan menggunakan pemindahan tunai bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah.

“Semua pengeluaran ini hanya akan memberi kesan negatif, sama seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), yang sepatutnya membiayai pencen sektor awam. Kita perlu mempunyai disiplin dalam menguruskannya.

“Dalam 20 tahun akan terbentuk kumpulan generasi pesara yang besar yang mempunyai dana persaraan yang kecil dalam KWSP dan tidak ada pekerjaan, dan mereka ini bukan pesara kerajaan,” katanya.

Beliau mengingatkan perkara itu di samping memetik data Kecenderungan Mengguna Marginal (MPC) isi rumah Malaysia sebagai contoh.

Siri Kertas Kerja Bank Negara Malaysia (BNM) WP2/2013 menunjukkan isi rumah dengan pendapatan boleh guna bulanan kurang daripada RM1,000 menggunakan purata 81 sen daripada setiap RM1 dalam pendapatan tambahan dan MPC adalah lebih besar bagi isi rumah berpendapatan rendah berbanding isi rumah berpendapatan lebih tinggi.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bersetuju bahawa Malaysia harus segera melakukan reformasi atau pembaharuan ke atas sistem perlindungan sosial untuk memastikan rakyat tidak menghadapi kesulitan kewangan yang serius pada masa akan datang.

“Pandemik telah menjadi peringatan kepada kita sekali lagi bahawa kita mesti memperbaharu sistem perlindungan sosial kita dengan segera.

“Ia pastinya bukan sesuatu yang mudah atau boleh berlaku dalam sekelip mata namun, ia perlu bermula sekarang,” katanya pada sidang media secara maya sempena penerbitan laporan tahunan BNM pada 30 Mac lepas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebenaran kerajaan terhadap pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 baru-baru ini.

Memandangkan ekonomi kini sedang menunjukkan petanda pemulihan, rakyat perlu mula perlahan-lahan membina semula penampan kewangan mereka, katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor, Jessica Chew berkata meskipun bank pusat menyedari pengeluaran itu akan membantu ramai orang yang sedang bergelut untuk bangkit semula daripada pandemik dan bencana banjir baru-baru ini, namun angka daripada data KWSP itu adalah “sangat membimbangkan”.

-BERNAMA


Pengarang :