Pemenang Kempen Jom Tunai Zakat ‘Menang dan Kongsi’ menyerahkan separuh hadiah kemenangan kepada anak asnaf cemerlang terpilih ketika Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 26 April 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kempen tunai zakat ‘menang dan kongsi’ catat 4,000 penyertaan

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kempen Jom Tunai Zakat ‘Menang dan Kongsi’ yang dianjur antara 1 hingga 31 Disember tahun lalu berjaya merekodkan 4,000 penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata kempen selama sebulan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) melebihi sasaran 2,000 peserta.

“Kita sentiasa merencana pelbagai aktiviti bagi memastikan sebaran dakwah berhubung kepentingan berzakat dapat diperluaskan.

“Kempen ini adalah sebahagian daripada penghargaan kepada pembayar setia LZS selain menarik minat pembayar (zakat) baharu,” katanya berucap pada pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan 2022 di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, malam tadi.

Dalam majlis itu, LZS menobatkan tiga pemenang kempen berkenaan yang membawa pulang hadiah berbentuk simpanan TH. Juara memenangi RM5,000, kedua (RM3,000) manakala ketiga (RM1,000).

Mohd Sabirin menambah pemenang berkongsi separuh daripada jumlah hadiah diperoleh kepada anak asnaf cemerlang yang terpilih mengikut kategori pembelajaran.

“Ini jelas sekali bertepatan dengan konsep berkongsi rezeki yang diamalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin menyeru pengeluar zakat terus menunaikan kewajipan itu memandangkan ia kesinambungan kehidupan keluarga asnaf negeri ini.

Katanya, bayaran boleh dibuat menggunakan perkhidmatan tanpa tunai seperti EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos dalam talian.

“20 cawangan LZS turut beroperasi tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan zakat fitrah dan harta,” katanya lagi.


Pengarang :