Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar Jom Shopping sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Gombak pada 23 Januari 2022. Sebanyak RM8 juta dikhaskan untuk program Jom Shopping semua perayaan pada 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Kerajaan Negeri agih RM3.34 juta bantu lebih 33,000 rakyat sambut Aidilfitri

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.34 juta menerusi Jom Shopping Raya bagi membantu meringankan beban rakyat kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu membabitkan 33,400 rakyat di seluruh negeri.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan kerana kerajaan menyedari beban kewangan yang ditanggung rakyat susulan kenaikan harga barang.

“Sempena Aidilfitri tahun ini, sebanyak RM3.34 juta telah diperuntukkan untuk 33,400 rakyat Selangor menerusi pemberian baucar bagi membeli barang keperluan asas.

“Ia disalurkan menerusi 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya dapat meringankan beban keluarga memerlukan bagi menyambut lebaran,” katanya di Facebook.

Pada 8 April lalu, EXCO kerajaan prihatin V Ganabatirau menjelaskan baucar bernilai RM100 setiap satu disalurkan melalui wakil rakyat bermula 1 April sehingga akhir bulan ini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :