Kenderaan pelbagai guna dibeli menerusi Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang diubah suai bagi menjalankan misi bantuan dan kebajikan di Gaza, Palestin. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia (GPM)
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri kutuk serangan Israel, ikrar terus bantu rakyat Palestin

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan dan provokasi Israel yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin tercedera.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri tetapi bersetiakawan dan bersolidariti dengan Palestin susulan serangan tentera rejim zionis terhadap Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam berpuasa di bulan Ramadan.

“Penting untuk dinyatakan di sini bahawa sebarang isu keganasan di bumi Palestin adalah krisis kemanusiaan dan bukan semata-mata isu umat Islam.

“Jadi, sempena bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengangkat tangan dan mendoakan kesejahteraan buat warga Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha membantu rakyat Palestin seperti yang dilaksanakan tahun lalu menerusi Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin apabila ia berjaya mengumpul dana hampir RM1 juta dalam bentuk pengangkutan seperti ambulans, Trak Amal Selangor, kelengkapan perubatan dan kotak makanan untuk rakyat Gaza.

Semalam, media melaporkan polis Israel bertempur dengan sekumpulan rakyat Palestin bertopeng dan bersenjatakan batu di pekarangan Masjid Al-Aqsa selepas umat Islam menunaikan solat Subuh.

Menurut polis, kejadian itu berlaku ketika mereka memasuki kawasan tapak suci berkenaan bagi menyuraikan sekumpulan individu yang berhimpun di situ selepas selesai mengerjakan ibadah.

Perkhidmatan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan sekurang-kurangnya 59 orang cedera dalam kejadian terbabit semalam.


Pengarang :