Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penjawat awam selepas majlis Rapat Ramadan Dato’ Menteri Besar Bersama Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 8 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Kerajaan Negeri lulus RM14.15 juta pulih kawasan runtuh

SHAH ALAM:, 8 APRIL: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM14.15 juta bagi kerja pemulihan di kawasan-kawasan yang mengalami tanah runtuh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu digunakan bertujuan mengukuhkan cerun yang boleh mendatangkan risiko khususnya di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kini kerja sedang dibuat dan pada masa sama Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan RM1.6 juta untuk kerja baik pulih cerun di Pangsapuri Intan Taman Bukit Permai di Ampang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Rapat Rahmah Ramadan di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM138,000 bantuan wang ihsan kepada penduduk terkesan kejadian tanah runtuh di Ampang, Mac lalu.

“Insya-Allah bantuan ini kita akan salur menjelang Aidilfitri iaitu empat keluarga diberi bantuan RM10,000 kerana ahli keluarga meninggal dunia.

“Seorang mangsa cedera diberi RM5,000, setiap seorang mangsa 11 unit rumah rosak mendapat RM5,000 manakala 70 unit rumah dan enam kereta terkesan masing-masing dibantu RM500,” katanya.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 10 Mac lalu meragut empat nyawa manakala seorang lagi cedera ringan dan mengakibatkan 15 rumah serta 10 kenderaan.


Pengarang :