Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Najmuddin Jemain (kiri) dan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Ravi Abdullah (dua kiri) merasmikan Bandar Ilmu Putra Mahkota di Kuis, Hulu Langat pada 16 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri sedia pelbagai inisiatif perkasa pendidikan, lahir generasi berilmu

HULU LANGAT, 16 APRIL: Selangor memberikan komitmen penuh dalam bidang pendidikan supaya dapat melahirkan generasi unggul yang mampu memajukan negara.

Dato’ Menteri Besar berkata pelbagai inisiatif sudah dilakukan bagi mencapai hasrat itu termasuk cadangan untuk menghantar pelajar ke universiti terbaik dunia.

“Semalam kita berbincang untuk meluluskan skim pinjaman biasiswa supaya kita dapat menghantar anak negeri ini ke universiti terbaik sama ada di dalam dan luar negara, awam atau swasta.

“Beberapa hari lepas juga kita merangka program penterjemahan. Tahun lepas kita terjemah buku Muhammad (Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal) oleh Abu Bakar Sirajuddin. Tahun ini kita merangka terjemahan karya Ihya ‘Ulumuddin’ oleh Imam Al Ghazali (bahasa Melayu),” katanya.

Terdahulu, beliau berucap di majlis Jalinan Ukhwah Ramadan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan melancarkan Bandar Ilmu Putra Mahkota.

Mengenai pelancaran bandar ilmu itu, Amirudin berkata ia adalah langkah awal dan lebih banyak perkara bakal diteroka bagi merancakkan lagi pembangunan ilmu negeri ini.

“Kita hendak kembangkan Selangor untuk menjadi wilayah ilmu dan warga setempat akan berkongsi kejayaan itu,” katanya.


Pengarang :