Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Rapat Ramadan Dato’ Menteri Besar Bersama Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 8 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kerajaan Negeri warta semula kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Negeri mewartakan semula kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 486.07 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keluasan itu melibatkan kawasan Kampung Orang Asli Busut Baru seluas 42.05 hektar dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas 8.58 hektar.

“Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Rapat Rahmah Ramadan di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Februari lalu, Kerajaan Selangor menyasarkan 33.3 peratus kawasan di negeri itu sebagai hutan simpan kekal menjelang 2030.

EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata buat masa ini hutan simpan kekal merangkumi kira-kira 32.5 peratus daripada keluasan negeri.


Pengarang :