Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja sambung paip punca gangguan, PAAB dan Air Selangor diminta salur maklumat

SHAH ALAM, 18 APRIL: Gangguan bekalan air tidak berjadual di Taman Keramat, Hulu Klang minggu lalu berpunca daripada kerja penyambungan paip projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

Dato’ Menteri Besar berkata kerja dikendalikan kontraktor agensi kerajaan persekutuan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan bukan bawah kendalian Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Namun saya akui pemasangan paip ini perlu untuk pastikan bekalan air yang baik bagi Selangor dan Kuala Lumpur.

“Hari ini saya akan minta PAAB dan Air Selangor beri maklumat berkenaan tempoh dan risiko gangguan supaya penduduk lebih bersedia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Perkara itu dijelaskan pada ruangan komen Facebook Shazril Ezani yang meminta penjelasan berhubung masalah gangguan air di kawasan kediamannya.

Pembinaan LRA Langat 2 dimulakan pada Mac 2014 membabitkan Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang dan Keramat AU3.

Setakat Februari, projek berkenaan mencapai kemajuan hampir 90 peratus dan dijangka siap akhir tahun depan.


Pengarang :