Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf (tengah) menyantuni anak yatim dalam program agihan bubur lambuk di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh pada 20 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes cerai tinggi, Mais tambah baik kursus kahwin sesuai keadaan semasa

SUNGAI BULOH, 20 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sentiasa menambah baik kursus praperkahwinan Islam (KPPI) mengikut keperluan semasa bagi meningkatkan kefahaman pasangan yang bakal berkahwin.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kesan pandemik yang melanda negara menjadi antara faktor utama peningkatan kes cerai kerana banyak pasangan kehilangan sumber pendapatan.

“Sebenarnya penceraian ini banyak faktor salah satunya yang beri impak adalah masalah ekonomi yang mana ramai diberhentikan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam KPPI ia membantu meningkatkan kesedaran. Kita sentiasa kaji dari semasa ke semasa modul perkahwinan supaya mereka yang hendak kahwin ini faham erti berumah tangga,” katanya ditemui selepas majlis agihan bubur lambuk di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes penceraian tinggi di Selangor dan adakah Mais bercadang menambah baik modul KPPI.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada  18 Mac lalu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata sebanyak 6,299 kes penceraian direkodkan di Selangor sepanjang 2021.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata berdasarkan pendaftaran penceraian di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) setelah perintah perceraian dikeluarkan Mahkamah Syariah, daerah tertinggi kes cerai adalah di Petaling dengan 1,668 kes.


Pengarang :