AGENDANASIONAL

Kes tangan kaki mulut makin banyak, ibu bapa digesa ambil langkah kawalan segera

SHAH ALAM, 21 APRIL: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah tujuh tahun di Selangor meningkat sejak awal tahun dengan 4,383 kes dilaporkan, kata jabatan kesihatan negeri.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata sebanyak 103 kluster penyakit dikesan melibatkan 497 kes dan 95 peratus darinya berpunca dari kluster taska, tadika serta pusat jagaan harian.

“Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan. Kes mingguan juga melebihi rekod pada tempoh sama tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya HFMD disebabkan enterovirus dan boleh merebak melalui kontak permukaan atau peralatan tercemar dengan air liur, cecair lepuh (blister) atau najis pesakit.

“Jangkitan hanya ringan dan hampir semua pesakit pulih dalam tujuh hingga 10 hari tanpa rawatan,” katanya.

Orang ramai terutama ibu bapa diminta mengambil langkah berikut:

  • Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama lantai dan bilik air serta peralatan dan perkakasan digunakan kanak-kanak
  • Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda jangkitan HFMD.  Kanak-kanak bergejala tidak dibenarkan hadir ke premis
  • Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain
  • Memastikan lampin pakai buang dibuang dalam tong sampah bertutup
  • Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan

Langkah menjaga kanak-kanak mempunyai tanda jangkitan HFMD:

  • Tidak membawa anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika dan pusat asuhan kerana boleh merebak jangkitan
  •  Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, menukar lampin dan menyentuh atau merawat lepuh
  • Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin
  •  Memastikan pembuangan lampin pakai buang dibuat dengan betul

Amalan mencegah jangkitan HFMD:

  • Penjagaan kebersihan diri
  • Amalan cuci tangan yang betul
  • Penjagaan kebersihan persekitaran
  • Pemeriksaan atau saringan kanak-kanak, murid di pintu masuk tadika, tabika, prasekolah dan sekolah
  • Disinfeksi atau nyahkuman permukaan  tercemar

Pengarang :