Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Paya Rumput Mohd Shazreen Salim (kiri) mengenakan kostum zirafah bagi menyambut murid sekolah berkenaan yang tiba di kawasan sekolah ketika tinjauan pada hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keselamatan: Kerjasama ibu bapa, guru perlu untuk tingkat kesedaran pelajar

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Kisah kanak-kanak pulang lambat atau tersilap naik van atau bas sekolah terutama dalam kalangan mereka yang baru memasuki alam persekolahan sering berlaku, walaupun tidak mendapat liputan media.

Kecuali jika kejadian melibatkan kanak-kanak itu tidak pulang sehingga malam dan dilapor hilang, baru ia dilapor atau diviralkan di media sosial.

Baru-baru ini Polis dalam siasatan awal menyatakan kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, yang dikatakan tersilap menaiki bas sekolah sebelum ditemui di sebuah kondominium di ibu kota, dan kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai keselamatan anak-anak kecil itu ketika pulang dari sekolah.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, berkata ibu-bapa dan guru harus memainkan peranan dalam proses penerapan untuk menitikberatkan soal penjagaan keselamatan diri mereka.

“Bila sekolah tamat, persoalannya di sini adalah siapa yang bertanggungjawab lepas mereka keluar dari kawasan sekolah, ini adalah satu masalah yang besar, kita tak boleh anggap bahawa pihak polis nak jaga di luar…saya rasa ini adalah satu yang mustahil untuk harap dekat anggota polis jaga luar sekolah, jadi bagi saya yang paling penting ialah aspek tentang pencegahan melalui pendidikan dan kesedaran.

“Pihak sekolah juga harus tingkatkan tahap kesedaran pelajar dan beritahu kepada pelajar apabila mereka meninggalkan perkarangan sekolah, mereka mesti berhati-hati dan jangan bercakap dengan orang yang mereka tidak kenal dan jangan ikut yang orang mereka tak kenal, dan kalau mereka naik bas dia mesti tahu di mana bas itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pihak sekolah meningkatkan tahap keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV), untuk memudahkan pemantauan pergerakan pelajar di luar pagar sekolah sekali gus dapat memudahkan urusan pihak berkuasa, jika perkara yang tidak diingini berlaku.

Berkongsi sentimen sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Melawati Aznam Mohamed berkata penyelarasan antara pihak sekolah, ibu-bapa dan pihak luar amat penting, dalam memastikan keselamatan anak-anak di bawah seliaannya terjamin.

Menurut beliau sekolah itu telah membangunkan satu sistem yang teratur untuk mengawal pergerakan balik pelajar, terutama bagi pelajar Tahun Satu, Dua dan Tiga.

“Seperti yang sekolah saya jalankan, anak-anak yang menggunakan van untuk pulang, sebelum dia naik van mereka akan dikumpulkan mengikut kumpulan van masing-masing bermaksud sekolah sudah ada satu senarai nama untuk van yang mereka naiki.

“Saya juga dah buat satu group WhatsApp khusus tentang van sekolah, jadi pemandu akan masukkan nombor van yang menunggu di hadapan sekolah, bila guru yang bertugas dia dapat maklumat van dah sampai maka nanti guru yang bertugas akan mengarahkan anak-anak ini dibawa keluar dari pintu pagar, dan pemandu van akan mengambil mereka…jadi ini untuk mengelakkan berlakunya keciciran, tersalah van dan sebagainya.

Aznam juga berkongsi pengalamannya apabila terpaksa menghadapi situasi seorang anak muridnya disyaki hilang.

Namun melalui penyelarasan yang baik, pelajarnya itu ditemui semula apabila pemandu van memberitahu bahawa murid yang disyaki hilang itu tersilap menaiki van, dan tindakan pantas pemandu memaklumkan melalui aplikasi whatsapp dapat meredakan kegusaran ibu-bapa kanak-kanak itu.

Sementara itu Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpendapat bahawa, keselamatan anak-anak perlu menjadi tanggungjawab utama bagi ibu bapa.

Selain itu menurutnya ibu bapa tidak boleh bersikap lepas tangan dengan berharap kepada pihak sekolah semata-mata, untuk memastikan keselamatan anak mereka

“Kita harapkan ibu bapa mestilah beri perhatian secukup-cukupnya, jangan cuai, bersikap sambil lewa dan memberi perhatian kepada perkara lain yang kurang pentingnya, daripada keselamatan anak-anak,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :