Ketua Pembangkang merangkap ahli parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ketua pembangkang gesa kerajaan dedah kos sebenar projek LCS, kerugian LTAT

SHAH ALAM, 23 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pertahanan memberi jawapan terperinci mengenai kos sebenar pemerolehan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Ketua pembangkang itu berkata beliau mengambil maklum keputusan kerajaan yang bersetuju supaya projek itu diteruskan, namun mahu kesemua soalan yang dikemukakan di Parlimen sebelum ini dijawab terlebih dahulu.

“Menteri (pertahanan) jangan ambil mudah hal ini kerana ia bukan hanya melibatkan sejumlah dana yang besar, tapi atas dasar ketelusan ia mesti dijawab.

“Saya juga tuntut menteri menjelaskan mengenai berapa kerugian yang ditanggung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akibat keputusan ini,” katanya menerusi Facebook.

Pada 20 April lalu, Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju meneruskan perolehan LCS dengan mengambil kira dua faktor utama.

Antara faktor yang diambil kira ialah bahawa LCS adalah aset yang amat dikehendaki dan diperlukan selain memenuhi perancangan pemodenan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut pelan transformasi sedia ada.

Sebelum ini, kapal LCS berdepan kelewatan yang berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

Proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan.


Pengarang :