Buku Penyelamat Daripada Kesesatan. Foto Grafik Media Selangor
AGENDANASIONALRENCANAWAWANCARA

Kisah Imam al-Ghazali rayu perompak pulang buku

Oleh ABDULLAH HUSSAINI

Namanya Muhammad, ayahnya Muhammad dan datuknya Muhammad. Meski kunyah digunakannya adalah Abu Hamid yang bererti bapa kepada Hamid, tetapi dia hanya meninggalkan seorang anak perempuan sesudah kepergiannya.

Kita mengenalnya sebagai al-Ghazali, atau Imam al-Ghazali. Antara gelaran lainnya adalah Hujjatul Islam dan orang Barat yang entah lidah pelat atau apa sebabnya, memanggilnya sebagai Algazel. Tidak terkira keringat hidup dan tinta ilmu yang telah ditumpahkan Al-Ghazali dalam menentukan nilai-nilai kerohanian ummah.

Deretan kitab dan karya tinggalannya membuktikan betapa agung sumbangan susuk ini khususnya kepada dunia Islam dan dunia secara amnya. Maka sahihlah kata hukama, nama yang baik dikenang orang, jasa yang menggunung wangi berzaman.

Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal al-Ghazali. Apa yang pasti, dia dilahirkan di Tous (kini sebahagian negara Iran) dan bapa saudaranya yang bernama Abu Hamid al-Ghazali merupakan seorang alim.

Justeru itu, sejak zaman kanak-kanak keluarganya tidak jauh dari lingkaran keilmuwan. Bapanya tidak berharta namun tahu kepentingan ilmu. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia meninggalkan sejumlah wang kepada seorang sahabatnya untuk menampung belanja pendidikan satu-satu anak lelakinya.

Buku catatan dirompak

Pada 1033 Masihi, al-Ghazali yang sudah belia berangkat ke Naysabur untuk menadah kitab dengan alim tersohor, al-Juwayni. Naysabur terletak 50 batu dari Tous dan 300 batu dari Gurgan. Ada satu cerita menarik sewaktu ia belajar di sana dan cerita ini antara yang termasyhur.

Dalam perjalanan pulang dari Gurgan, kafilah pelajar termasuk al-Ghazali telah dirompak. Antara barangan yang dirompak adalah buku-buku catatan belajarnya. al-Ghazali mengejar perompak itu dan merayu dipulangkan buku-bukunya.

Ketua penyamun mencemuhnya, begitu mudah ilmu dapat dicuri, namun tetap memulangkan kembali buku-buku tersebut. Sejurus peristiwa itu, al-Ghazali menghabiskan tiga tahun, memuatkan ilmunya ke dalam ingatan.

Barangkali apabila disebut nama al-Ghazali, kita serta-merta teringatkan Ihya’ Ulumuddin, Tahafut al-Falasifah atau al-Mustasfa. Kepelbagaian karyanya dalam bidang fikah, usuluddin, tasawuf, mantik dan falsafah telah membantu merungkai banyak permasalahan ummah.

Sedang di belahan Barat pula, ramai ahli falsafah terpengaruh dengan karya-karya al-Ghazali. Thomas Aquinas contohnya, bersungguh menelaah Tahafut al-Falasifah. Walaupun al-Ghazali mengaku telah menulis sebanyak 70 buah karya, namun hampir 400 karya diatasnamakan kepadanya.

Buku Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik. Foto Grafik Media Selangor

Al-Ghazali ialah pemula yang menyepadukan bidang mantik ke dalam syariah dan perbahasan-perbahasan bidang agama lain. Dia pencari kebenaran dan tidak pernah puas dengan suatu-suatu keadaan. Kecamuk yang dialaminya kemudian telah menghantarnya ke suatu pertualangan penting dalam hidupnya hingga terhasil salah satu karya ulungnya, Penyelamat Daripada Kesesatan (Munqiz Min ad-Dhalal).

Tahunnya adalah 1059 dan al-Ghazali diserang kemelut dahsyat—tekanan jiwa. Sungguhpun sari kemelut itu bersabit kerohanian dan kejiwaan, tetapi jasmaninya terkesan jua pada bulan Rejab tahun itu. Dan ini memaksanya meninggalkan kerjaya besarnya sebagai profesor, atau lebih tepat, meninggalkan duniawi.

Al-Ghazali merakam tempoh itu dengan rinci, “Hampir enam bulan aku terumbang-ambing antara tarikan syahwat dunia dan seruan akhirat. Allah membuatkan lidahku kelu dan tidak lagi mampu mengajar. Suatu hari, aku gagahkan diri untuk mengajar demi memenuhi harapan orang ramai yang mengikuti kuliah-kuliah pengajian selama ini.

Tetapi lidahku kelu tak berupaya mengungkapkan sepatah kata pun. Kebisuan ini menjadikan hatiku sangat sedih hingga menjejaskan penghadaman usus. Makanan dan minuman terasa pahit hingga secebis roti pun tak terkunyah dan seteguk air pun tak tertelan.

Lama-kelamaan tubuhku menjadi semakin tenat, sehingga para tabib tidak sanggup lagi merawatku. Akhirnya setelah hilang semua kekuatan, maka aku pun mencari perlindungan daripada Allah Ta’ala,” (hlm 71, Penyelamat Daripada Kesesatan).

Karya malar segar

Lewat buku ini, kita akan faham mengapa keilmuan al-Ghazali ini sangat luas dan terbuka. Hatinya yang bertindak balas dengan keadaan, telah mendorongnya begitu teliti dalam mencerap segala yang terjadi di sekelilingnya.

Lihat bagaimana dia memberikan perlambangan mengenai kebenaran: ‘syiling emas tulen dan syiling palsu yang dicampuradukkan atau yang terletak berdekatan tidak akan tertukar—yang tulen tidak akan bertukar menjadi palsu dan yang palsu tidak akan bertukar menjadi emas’.

Ada banyak lagi perlambangan yang begitu mudah dicerna pembaca. Tidak hairan karya ini malar segar kerana ia membahaskan bukan sekadar soal agama, tetapi lebih kepada sikap diri; soal bagaimana menyikapi sesuatu kemelut, memahami dan menghadam keadaan, meneliti cabang-cabang kesesatan.

Apatah lagi pada zaman sekarang, ledakan maklumat di media sosial dan internet menjadikan pertimbangan kita celaru. Banyaknya kepalsuan menimbuni kebenaran membuatkan kita wajar jeda sejenak dan menghabisi halaman demi halaman Penyelamat Daripada Kesesatan ini.

Al-Ghazali mencampakkan diri ke dalam lautan, menyelam ke dasar paling dalam, menyelidik setiap kepercayaan dan menyingkap rahsia setiap kelompok. Baik kelompok falsafah, batiniah, pembidaah atau zahiriyah, setiap kelompok yang digelutinya membuahkan beberapa kesimpulan penting kepada kita pada zaman kini.

Buku Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam. Foto Grafik Media Selangor

Sebab itu satu lagi karyanya yang molek juga diteliti adalah Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik. Dalam karya ini al-Ghazali menegaskan perihal bahaya takfir, antara penyakit yang membawa kepada kemunduran umat Islam.

Diletakkan batasan untuk tidak mengeluarkan orang Islam, walau apa pun kecenderungannya dalam peperangan mazhab. Intinya, “Tahan lidahmu semampu mungkin daripada mengkafirkan sesama ahli qiblah selagi mereka berkata, “Tidak ada tuhan selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah”, dan tidak menyalahi pengakuannya.” Tidakkah soal takfir masih menghantui kita hari ini? Bahkan ada juga pihak-pihak tersasar dari landasan, mengkafirkan saudara seagamanya, lalu mendatangkan bahaya jasmani nyata.

Meskipun al-Ghazali masuk dan menyelidik ke setiap liang kelompok, namun ada beberapa ilmu yang menurutnya mesti ditegah kepada awam. Dalam buku Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam, sambil menyebutkan kebaikan ilmu kalam, ia menjelaskan pintu-pintu kekacauan dalam bidang tersebut dan memperingatkan orang awam tentangnya.

Karya yang dikatakan dikarang dua minggu sebelum ia meninggal dunia ini walau sedikit rumit namun tetap menarik diteliti. Soalnya apa itu ilmu kalam? Bukan ilmu tulis-menulis. Kalam yang dimaksudkan adalah penafsiran ayat-ayat Allah.

Soal mentafsir memerlukan keilmuan yang cermat dan tambah pula bila ada cabang kelompok yang menafsirkan secara berbeza. Jika perbincangannya dibawa ke tengah masyarakat, dikhuatiri mendatangkan bencana ketimbang manfaat. Ia bersangkut-paut dengan bahasa, kemunasabahan dan pengkajian urutan peristiwa.

Jika diteliti, kesemua buku yang disebutkan; Penyelamat Daripada Kesesatan, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik dan Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam, sangat berkaitan dan sesuai dibaca berturutan. Ketiga-tiga karya ini telah diterjemah dari bahasa Arab dan diterbitkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Sesungguhnya penulisan pendek ini tidak cukup membicarakan susuk besar Imam al-Ghazali dan karya-karyanya.

 


Pengarang :