Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM ambil sampel rawak di pintu antarabangsa kesan varian Omicron, XE

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kaedah persampelan rawak di semua pintu masuk antarabangsa akan dilaksanakan bagi mengesan mutasi baharu varian Omicron, XE daripada pengembara yang tiba di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pemantauan juga dibuat terhadap kes Covid-19 yang dirawat di semua hospital di negara ini.

Katanya kepada BH, proses pengambilan sampel akan dilaksanakan mengikut protokol sedia ada.

“XE ialah Omicron Recombinant BA1 dan BA2, walaupun lebih kebolehjangkitan 10 peratus tetapi keparahan masih dipantau.

“KKM akan menjalankan pensampelan secara rawak di pintu masuk antarabangsa dan memantau kes-kes di hospital,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, usaha membendung penularan varian itu boleh dilakukan dengan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), ujian saringan Covid-19 menyeluruh, liputan vaksin dan penggunaan ubat antiviral.

Mengulas sama ada fokus akan diberikan kepada negara tertentu, beliau berkata, pihaknya hanya akan menjalankan pemantauan rapi, selain penjujukan genom.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan setakat ini Malaysia belum mengesan kehadiran mutasi baharu varian XE.

Namun, beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengikuti perkembangan berkaitan varian itu.

 


Pengarang :