Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai mengelak daripada menggunakan tiga produk kosmetik yang disahkan beracun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM gesa orang ramai elak beli, guna tiga produk kosmetik disahkan beracun

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu ialah Puteri Ratu Treatment Cream dan Flashh Treatment Cream yang masing-masing mengandungi merkuri manakala Flashh Night Cream mengandungi hidrokuinon.

“Susulan itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Dr Noor Hisham berkata merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Produk kosmetik yang mengandungi hidrokuinon pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk kosmetik itu diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang awam menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

– BERNAMA

 


Pengarang :