Petugas kesihatan menjalankan ujian calitan dalam Saringan Komuniti Covid-19 DUN Kajang secara percuma di Dewan Seri Cempaka, Kajang pada 26 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kontak rapat belum lengkap status vaksinasi tidak perlu kuarantin

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kementerian Kesihatan mengumumkan kontak rapat kes Covid-19 yang tidak bergejala kini tidak perlu lagi menjalani kuarantin, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Bagi individu yang menjadi kontak rapat kes Covid-19 tetapi tidak mengalami sebarang gejala, mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin, tanpa mengira status vaksinasi mereka,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, hanya kontak rapat yang tidak bergejala tetapi sudah lengkap status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Menurut Khairy, peraturan baharu mengenai kontak rapat itu dibuat berikutan terdapat permintaan daripada pelbagai pihak terutama yang tinggal di asrama.

“Sebelum ini ada permintaan membabitkan mereka yang tinggal di asrama, kerana ada pelajar yang tidak layak untuk mendapatkan dos penggalak. Jadi kita bersetuju untuk melaksanakan peraturan baharu ini,” katanya.

Terdahulu, kontak rapat yang lengkap vaksinasi tanpa dos penggalak perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari, manakala yang tidak lengkap vaksinasi selama tujuh hari.


Pengarang :