Penguat kuasa KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan harga barangan ketika Ops Pantau di bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 18 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP keluar 51 kompaun kepada peniaga, nilai rampasan lebih RM800,000

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan sebanyak 51 kompaun kepada peniaga dalam Ops Pantau di sekitar negeri ini sejak 3 April lepas.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah tersebut 29 adalah bagi kesalahan berkaitan harga, timbang sukat (14), bekalan (tujuh) dan halal (satu).

“Kes yang dihasilkan itu melibatkan rampasan bernilai RM811,717.70 dengan kompauan dikeluarkan berjumlah RM18,100.

Sepanjang pelaksanaan ops tersebut, pihak kami telah memeriksa sebanyak 5,705 premis perniagaan dan tujuh premis telah diberikan amaran supaya mematuhi keperluan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan  di sini hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata lokasi tumpuan di bawah Ops Pantau kali ini meliputi Bazar Ramadan, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar raya terpilih, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

“Selain itu, fokus pemantauan di bawah ops tersebut melibatkan aspek harga, bekalan, aktiviti jualan murah, alat penimbang, barangan tiruan atau cetak rompak dan penggunaan perbahasaan halal,” katanya.

Katanya, hasil pemantauan yang dijalankan pihaknya di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam baru-baru ini menunjukkan tahap pematuhan peniaga bazar adalah memuaskan dan dalam kategori pemerhatian yang rapi.

— BERNAMA

 


Pengarang :