Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama YBhg. Tuan Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDNHEP melakukan walkabout Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Warda Mart, Bandar Baru Uda. Foto Facebook KPDNHEP Laman Rasmi
AGENDANASIONAL

KPDNHEP periksa secara rawak status vaksin pengunjung, pekerja premis

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan semakan secara rawak status pengunjung dan pekerja di premis perniagaan di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu diambil susulan semua individu dibenarkan memasuki premis tanpa mengira status vaksinasi kecuali mereka yang positif Covid-19 dan dalam Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) bermula esok.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan terhadap pengunjung atau pekerja premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Justeru, kementerian menyarankan supaya semua pihak dapat bersatu hati dalam bersama-sama memastikan Fasa Peralihan ke Endemik berjalan lancar dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nanta berkata kelonggaran SOP selaras Fasa Peralihan ke Endemik di negara ini akan membolehkan industri peruncitan dan pengguna ‘kembali bernafas’ selepas dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19.

Berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran bagi Februari 2022 telah merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dengan kelonggaran yang diumumkan ini, pencapaian ini dijangka dapat dipertingkatkan lagi dengan kerjasama semua pihak khususnya tanggungjawab pemain industri peruncitan dan rakyat Malaysia dalam memastikan ekosistem perniagaan selamat daripada penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :