Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kritikan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan – ketua hakim negara

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata meskipun hakim tertakluk kepada kritikan awam dan memikul tanggungjawab memberikan perkhidmatan terbaik namun tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap mereka serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.

Beliau berkata walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.

Katanya, sejak kebelakangan ini, mahkamah telah menangani kes berprofil tinggi serta membabitkan kepentingan awam dan sudah menjadi lumrah buat hakim untuk menerima kritikan serta tuduhan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata apa yang berlaku baru-baru ini berhubung tuduhan dilemparkan terhadap hakim dan badan kehakiman, pada pandangan beliau, adalah agak keterlaluan.

“Apabila wujud keperluan untuk mengkritik badan kehakiman, perkara inin hendaklah dibuat secara membina dan tidak menjejaskan kebebasannya serta keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah 17 pesuruhjaya kehakiman yang disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Tengku Maimun berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya menyemai benih-benih keraguan dalam kalangan orang ramai berhubung integriti badan kehakiman atau hakim.

Beliau berkata hakim tertakluk kepada penelitian yang rapi dan sebab itulah mereka menulis penghakiman agar ia boleh dibaca, dianalisis, dibincang serta dibahaskan.

Katanya badan kehakiman adalah barisan pertahanan terakhir dalam demokrasi berperlembagaan dan tidak boleh ada syak wasangka bahawa ia telah ditakluki.

Tengku Maimun berkata hakim tidak seharusnya berputus asa dan berasa tawar hati apabila melaksanakan tugas mereka mengikut prinsip undang-undang sambil menambah bahawa sistem keadilan dan kebebasan badan kehakiman tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Walau apapun, kita mesti kekal kuat dan tabah serta teguh dalam mendukung Kedaulatan Undang-Undang. Meskipun kita tidak boleh mengawal kata-kata atau tindakan sesetengah pihak yang nekad untuk mencemari atau memusnahkan imej badan kehakiman, kita masih berhak memastikan bahawa tiada siapa pun yang mencampuri urusan kita. Dalam kata lain, tiada siapa bole campur tangan dalam badan kehakiman jika kita para hakim tidak membenarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Baru-Baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lepas memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kerdibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada majlis hari ini, seramai 17 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Mereka ialah Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, 60, Datuk Amarjeet Singh, 53, Datuk Duncan Sikodol, 62, K Muniandy, 60, Dr Shahnaz Sulaiman, 53, Evrol Mariette Peters, 54, Christopher Chin Soo Yin, 64, Ong Chee Kwan, 58, Mohd Radzi Abdul Hamid, 59, Datuk Aslam Zainuddin, 56, Datuk Julie Lack, 61, Wong Siong Tung, 58, Leonard David Shim, 56, Nadzarin Wok Nordin, 59, Quay Chew Soon, 58, Atan Mustaffa Yussof Ahmad, 52, dan Anand Ponnudurai, 55.

Pelantikan mereka berkuat kuasa hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :