Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) dan Pengerusi Kumpool Goh Chun Hean (kiri) bergambar di hadapan e-panggilan bas ulang-alik pada 26 Januari 2022. Foto ihsan Michelle Ng Mei Sze
ADNSELANGOR

Kumpool Ride dapat permintaan tinggi, rekod 150 pengguna sehari

SHAH ALAM, 15 APRIL: Khidmat e-panggilan van melalui aplikasi Kumpool Ride di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya mendapat permintaan ramai dengan rekod tertinggi 150 pengguna sehari.

Jumlah itu meningkat 10 kali ganda berbanding ketika awal pelaksanaan tahun lalu dengan permintaan tinggi pada hujung minggu melibatkan keluarga dan pelajar, kata wakil rakyatnya.

Menurut Michelle Ng Mei Sze, sebanyak tiga kenderaan digunakan setakat ini dan pihaknya bercadang menambah satu lagi van dalam masa terdekat untuk kemudahan penduduk.

“Sambutan sejak diperkenal hujung tahun lalu melebihi jangkaan,” katanya ketika dihubungi.

Kumpool Ride diperkenal bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir dengan kadar RM1 untuk akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.

Perkhidmatan itu meliputi lebih 200 hentian antaranya stesen bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) selain kawasan perumahan yang padat yang boleh dimuat turun di Apple Store atau Google PlayStore.


Pengarang :