Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ketika membuat serbuan di ladang ternakan khinzir di Tanjung Sepat pada 31 Mac 2022. Foto Facebook SPAN
AGENDA AGENSI SELANGOR

Ladang ternakan khinzir sambung paip air secara haram kena tindakan

SHAH ALAM, 1 APR: Ladang ternakan khinzir di Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini diserbu semalam selepas didapati membuat penyambungan paip air secara haram, maklum Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan sambungan Paip Ketumpatan Tinggi Polyethylene (HDPE) itu dikesan menerusi operasi bersepadu Bahagian Penguatkuasaan SPAN dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Pihak SPAN telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan tindakan pemotongan bekalan air yang tidak sah juga sudah dilakukan.

“Selain itu, tindakan pengalihan kedudukan meter turut dilaksanakan Air Selangor bagi mengelakkan aktiviti penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang ini berulang,” kata agensi itu di Facebook.

Dalam kenyataan sama, SPAN memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak disyaki membuat sambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai diminta untuk memaklumkan kepada operator air sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang berkaitan aktiviti mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah.


Pengarang :