Aksi Zamarul Hisham ketika menjalani penggambaran. Foto Zamarul Hisham
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lakonan 12 hari dibayar RM500 lonjak nama Zamarul

Krisis kewangan Asia 1997/1998 menjadikan pelakon Zamarul Hisham Mohamed, 51, sentiasa beringat dan selalu bersedia dengan keadaan luar jangka.

Barangkali itulah sebab suami kepada pelakon Diana Rafar, 40, tidak terjejas teruk tatkala pandemik Covid-19 melanda yang menyebabkan aktiviti seni tergendala sehingga ada rakan seangkatan mereka jatuh miskin.

Masih segar dalam ingatan Zamarul Hisham akan suasana muram industri seni ketika berhadapan kegawatan ekonomi pada 25 tahun lalu.

Mengenang zaman kemelesetan itu, beliau sanggup menerima tawaran berlakon telefilem Blok 404 dengan bayaran hanya RM500. Namun langkah itulah yang menaikkan nama beliau dalam industri. Ketika itu, era cakera padat video (VCD) baharu bermula di negara ini.

“Pengarah Silver Chung datang kepada saya beritahu syarikat produksi Motion Planet ada tawaran. Awak punya bayaran RM500. Hah! Biar betul? Dia tanya saya balik, awak tak tanya berapa saya punya bayaran. Berapa? Atas sikit daripada awak, RM800.

“Kami termenung hendak terima atau tidak. Akhirnya kita terima juga. Selepas itu baharulah wujud VCD cerita Kem 505, Di Ambang Misteri dan sebagainya dan bayaran pun mula cantik. Itulah liku-liku kehidupan seorang artis. Bukan senang kita mahu naikkan diri kita.

“Kita tersepit antara gawat dengan tawaran kerja yang datang dengan bayaran ‘ciput’ tetapi kita teruskan juga. Itulah bermula tapak saya ke VCD seterusnya. Saya sendiri tidak ingat berapa banyak berlakon VCD,” ujarnya.

Zamarul Hisham bergambar kenangan bersama rakan artis. Foto Zamarul Hisham

Telefilem Blok 404 yang memakan masa penggambaran selama 12 hari dari pagi ke malam itu meletup di pasaran dengan menduduki carta jualan VCD terlaris ketika itu.

Lantaran serik dengan pengalaman sedemikian, Zamarul Hisham cermat mengurus kewangan. Beliau juga meluaskan sumber pendapatan termasuk menceburi perniagaan, duta iklan dan pengulas produk.

Terbaru, Zamarul Hisham mengasaskan perniagaan kedai makan Glojoh Kitchen di Shah Alam pada 2021, manakala Diana pula menjalankan perniagaan susu kambing Dr Beauty. Kedua-dua operasi niaga itu banyak menyasarkan pelanggan dalam talian.

Sikap cermat dan berhati-hati menguruskan kewangan memberi hasil. Ketika wabak Covid-19 menular, selama lima bulan Zamarul Hisham tiada tawaran berlakon namun beliau bersedia dengan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Malah beliau berupaya membantu rakan dalam industri antaranya pekerja belakang tabir industri perfileman dan orang ramai.

Selain menyumbang keperluan asas, Zamarul Hisham juga menghulurkan bantuan dengan memberi ulasan makanan percuma di media sosial untuk peniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ramai peniaga hantar makanan untuk ulasan tetapi saya kena beri ulasan jujur. Makanan yang kena dengan tekak sahaja saya buat ulasan,” katanya.

Pernah jadi pereka grafik

Penglibatan Zamarul Hisham dalam dunia lakonan sebenarnya bermula tanpa dirancang. Sebelum menjadi dramatis, lelaki berkulit sawo matang itu bekerja sebagai pereka grafik swasta dengan gaji RM1,200 sebulan dalam tahun 1994. Satu hari seorang rakan mengajaknya menemani ke uji bakat berlakon sebuah drama.

Beliau masih ingat, sedang termenung menunggu giliran uji bakat rakannya selesai, tidak semena-mena datang seorang lelaki menegur.

“Muka macam biasa tengok,” kata lelaki itu. “Saya pernah berlakon iklan,” jawabnya. Lelaki itu kemudiannya memperkenalkan dirinya sebagai Mr Hoo, orang penting dalam syarikat produksi HVD.

“Mahu berlakon tak?” Mr Hoo melontarkan soalan tanpa diduga. “Boleh juga tetapi saya tak pernah berlakonlah Mr Hoo,” katanya yang menyangka Mr Hoo hanya bercanda.

Zamarul Hisham bercakap kepada wartawan ketika temu bual baru-baru ini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Rupanya Mr Hoo tidak main-main. Tanpa banyak soal, Mr Hoo bawa beliau ke pejabatnya dan menulis cek. Cek dihulurkan bersama naskhah skrip.

Ditatap cek di tangan tertera RM2,500. Jumlahnya lebih dua bulan gajinya sebagai pereka grafik.

“Banyak sangat ini Mr Hoo,” ujarnya. “Wah awak Melayu yang baik,” balas Mr Hoo lalu mengambil semula cek tadi dan dikoyak menjadi cebisan kecil.

Mr Hoo menulis sekeping cek lain dan sekali lagi bertukar tangan. Zamarul Hisham terkejut apabila jumlahnya ditambah menjadi RM3,500.

Malam itu, setiba di rumah, beliau begitu teruja bercerita dengan ibunya untuk dapatkan restu. Esok harinya terus tidak datang bekerja.

Akhirnya Zamarul Hisham sedar apabila penggambaran bermula, RM3,500 itu tidak banyak berikutan ada lebih 100 adegan untuk 10 episod, tetapi sebagai pendatang baharu beliau tetap gembira dengan peluang diberi.

Itulah detik yang membawa Zamarul Hisham terjun dalam dunia lakonan sekitar 1994 seperti dikongsikan ketika kunjungan Selangorkini di kediaman beliau di Shah Alam pada 18 Februari.

Dakwah kecil

Zamarul Hisham kini bahagia bersama Diana dan membesarkan lima anak termasuk cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, beliau berlakon sekurang-kurangnya 13 filem, 28 telefilem dan 38 drama di samping terlibat dalam muzik video.

Selain Blok 404, Kem 505 dan Di Ambang Misteri yang menaikkan namanya, filem lain lakonannya yang popular ialah I Know What You Did Last Raya, Lady Boss, Kapsul dan terbaharu Escape.

Zamarul Hisham lebih menyerlah di skrin televisyen menerusi drama antaranya Susuk, Cinta Balqis, Roh Kembali…, Anissa, Beruk Tok Ayah, Ihsan, Ramadan Yang Hilang dan Dua Takdir Cinta.

Beliau pernah dianugerahkan pelakon lelaki terbaik Festival Filem Malaysia 2005 (Di Ambang Misteri) dan Anugerah Skrin 2008 (Ihsan).

Mengimbau detik itu, Zamarul Hisham menyifatkannya sebagai saat terindah sepanjang pembabitan dalam industri kerana bukan sahaja menggondol anugerah tetapi mesej disampaikan melalui watak Ihsan.

“Cerita itu sangat memberi kesan kepada masyarakat. Saya dapat maklum balas sangat baik. Ada yang ucapkan terima kasih berlakon cerita ini, ada yang tak sabar nak jumpa emak, rasa bersalah sebab emak telefon tak jawab,” katanya.

Watak Ihsan yang dibawanya turut memberi kesan terhadap diri Zamarul Hisham sendiri sehingga mendorong hubungan dengan keluarganya semakin rapat.

Meski sudah berusia, Zamarul Hisham bersyukur kerana masih diberi kepercayaan berganding dengan artis muda untuk membawa watak utama.

“Alhamdulillah sampai sekarang masih diberi watak utama, digandingkan dengan artis muda seperti Cinta Masam Manis bersama Izara Aishah dan bukan itu sahaja tetapi banyak kali termasuk Hati Yang Dikhianati digandingkan dengan Nur Afifah Nasir selepas ‘bercerai’ dengan Mona Allen.

“Jalan ceritanya, selepas bercerai dengan Atira (Mona Allen) saya tersepit antara dua pilihan. Penonton putuskan Iskandar ini nak pergi ke mana, nak pergi ke Bella (Nur Afifah) atau pergi ke Atira. Mereka ini bukan sebaya saya tapi kami digandingkan,” katanya.

Zamarul Hisham masih sibuk menghabiskan penggambaran baki 15 daripada 146 episod Hati Yang Dikhianati sejak Januari 2021.

Drama bersiri ini sedang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang di Astro Prima.

Manakala jadual sepanjang 2022 juga tampak padat apabila bakal memulakan penggambaran drama 30 episod pada Mac, 20 episod (April) dan 20 episod lagi pada Jun nanti.

Berkenaan pembabitan pempengaruh dalam lakonan, Zamarul Hisham menyifatkan mereka perlu bermula daripada bawah termasuk aspek bayaran meski mempunyai pengikut ramai di media sosial.

“Saya bukan kata tak boleh tetapi kena mula daripada bawah barulah ada rasa hormat dengan artis senior.

“Saya percaya pengalaman membezakan, banyak yang perlu belajar kerana walaupun mereka hebat di bidang media sosial tetapi untuk bidang ini mereka perlu masuk kelas lagi,” katanya.

Bercakap tentang kehidupan sebagai figura awam, Zamarul Hisham menegaskan artis juga manusia biasa yang tidak perlu mendedahkan semua kisah peribadi.

“Media sosial adalah milik semua. Ada peminat yang menyokong, mahu tahu gaya hidup dan sebagainya. Dahulu lain, kita tiada Instagram semua ini tetapi sekarang oh, peminat mahu tengok gaya hidup, kita pun buat gaya hidup.

“Dalam keadaan menunjukkan gaya hidup tiba-tiba tudung isteri terangkat sikit atas dada atau rambut lelaki tak sempat ‘blow’. Benda kecil macam ini orang ramai bantai. Kita pun sebenarnya penat buat gaya hidup dan bersolek hari-hari.

“Orang ramai tidak faham. Mereka nampak bila ada sikit kekurangan yang kita tak perasan pun kena bahan,” katanya.


Pengarang :