Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor (dua kiri) dan Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim Kasa Dr Sugumari Shanmugam (dua kanan) bergambar bersama sayur-sayuran yang telah dipetik di Laman Hijau@3 MBSA. Foto MBSA
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Laman Hijau@3 ubah landskap bumbung Wisma MBSA

SHAH ALAM, 4 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam memperkenalkan konsep pertanian bandar atas bumbung atau Laman Hijau@3 bagi mengubah suasana di bumbung Wisma MBSA.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata pelaksanaan projek itu adalah hasil dana geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRak) Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

“Pertanian bandar di atas bumbang di podium tingkat 3 Wisma MBSA adalah salah satu inisiatif MBSA dalam usaha mengetengahkan konsep bangunan hijau dan menjadi contoh kepada bangunan lain di dalam kawasan pentadbiran MBSA.

“Laman Hijau@3 ini bukan sahaja dapat mengubah suasana kawasan berbumbung yang kosong kepada landskap tanaman yang berfaedah malah dapat meningkatkan akses kepada produk segar, berkualiti dan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laman Hijau@3 itu itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim Kasa, Dr Sugumari Shanmugam.

Beliau berkata, reka bentuk landskap Laman Hijau@3 itu turut menggunakan konsep akuaponik iaitu salah satu cabang agrikultur yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman tanpa tanah (hidroponik).

Konsep akuaponik yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman tanpa tanah diguna pakai di Laman Hijau@3. Foto MBSA

Menurut Shahrin, menerusi konsep akuaponik air yang terhasil daripada penternakan ikan menghasilkan baja semulajadi kepada tumbuhan dan tumbuhan pula akan membersihkan kualiti air ternakan ikan.

Antara tanaman yang ditanam di Laman Hijau@3 adalah tanaman herba seperti halia, kunyit, cincau hitam, bunga telang, markisa, roselle dan pelbagai sayuran seperti kailan, bayam, terung, bendi serta sawi.


Pengarang :