Anggota kesihatan menampal notis perintah tutup sebuah premis yang melanggar syarat lesen dalam operasi bersepadu dijalankan MBSJ di kawasan komersial Taman Puchong Utama, Puchong pada 31 Mac 2022. Foto MBSJ
AGENDAPBTSELANGOR

Langgar syarat lesen, premis makanan diarah tutup serta-merta

SHAH ALAM, 1 APR: Sebuah premis makanan di kawasan komersial Taman Puchong Utama, Puchong diarah tutup serta-merta semalam akibat melanggar syarat lesen.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata penilaian pemeriksaan mendapati premis terbabit memperoleh markah bawah 65 iaitu Gred D.

Menurut Azfarizal Abdul Rashid, sebanyak 11 notis tawaran kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu dijalankan di 68 premis sekitar kawasan terbabit.

“Antara kesalahan ialah premis tidak diselenggara dengan baik, pekerja tidak mendapatkan suntikan tifoid dan premis tidak mempunyai tong sampah bertutup.

“Selain itu, kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen, melanggar syarat lesen dan meletakkan barang yang berhubung trednya di tempat awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan secara berkala di seluruh kawasan komersial pihak berkuasa tempatan itu bagi memastikan tiada pelanggaran syarat lesen.

“Pemilik premis dinasihati supaya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak majlis,” katanya.

Terdahulu, operasi mulai jam 10.30 pagi itu disertai 56 anggota Jabatan Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar serta Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik pihak berkuasa tempatan itu.


Pengarang :