Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Langkah jaga kesihatan awam bantu kurangkan demam denggi

SHAH ALAM, 25 APRIL: Amalan penjagaan kesihatan awam ketika penularan Covid-19 membantu mengurangkan kes demam denggi, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika fasa pertama dan kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021, demam denggi mencatatkan jumlah terendah bagi tempoh lima tahun.

“Tindakan kesihatan awam seperti duduk di rumah dan tidak keluar berkesan. Bila duduk rumah orang akan bersihkan kediaman dan tak terdedah dengan jangkitan nyamuk kerana tak keluar.

“Ini satu penambahbaikan yang boleh kita guna pakai. Negara jiran juga merekodkan penurunan yang sama,” katanya pada sesi libat urus lebihan kematian semasa pandemik Covid-19 secara dalam talian hari ini.

Pada 31 Januari, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 26,365 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan 20 kematian.

Jumlah tersebut menunjukkan penurunan 70.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang merekodkan 90,304 kes dengan 145 kematian.


Pengarang :