Karya asal Abu Bakr as-Siddiq tulisan Muhammad Hussein Haikal yang diterjemah Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi dan Pengarah Pusat Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Akmal Khuzairy Abd Rahman. Foto ihsan IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lapan sebab pentingnya terjemah buku Saidina Abu Bakar

Oleh Farhan Affandi dan Akmal Khuzairy Abd Rahman

Bahagian 1: Saidina Abu Bakar: Riwayat, konflik dan kejayaan Islam

Memimpin umat Islam sejurus selepas kewafatan Nabi SAW merupakan cabaran maha berat buat Saidina Abu Bakar. Pertelingkahan dalaman antara Muhajirin dan Ansar, pemberontakan dalam masyarakat, isu nabi palsu, keselamatan sempadan, pembukaan wilayah baru dalam kawasan jajahan Rom dan Parsi, pengumpulan al-Quran, dan pelbagai isu pemerintahan diceritakan dan dikupas dengan sangat jelas oleh Muhammad Hussein Haikal, pengarang hebat dari Mesir yang pernah memegang jawatan menteri dalam negeri dan menteri pendidikan negara itu.

Buku ini merupakan kupasan istimewa tentang peribadi Saidina Abu Bakar nukilan Muhammad Hussein Haikal atas lapan sebab.

1. Buku ini menggabungkan pandangan penulis sebagai seorang sasterawan, wartawan, peguam, menteri serta ahli politik. Gabungan ini memberikan sudut pandang unik yang mungkin tidak dapat dilihat jika kita sekadar mengikuti perkembangan peristiwa yang berlaku tanpa cuba memahami sebab musabab tindakan dan betapa beratnya keputusan yang perlu dituntaskan oleh seorang pemimpin.

2. Sudut pandang yang diketengahkan oleh Muhammad Hussein Haikal mengandungi sentuhan kejiwaan. Buku ini memberi gambaran betapa beratnya Abu Bakar menerima pelantikan beliau sebagai Khalifah, memerangi kaum murtad, mempertahankan keputusannya tatkala mendapat kritikan daripada para sahabat yang rapat, berada di belakang Khalid Al-Walid, mengisytiharkan perang terhadap dua kuasa besar
ketika itu serentak dan membenarkan al-Quran dikumpul. Perasaan dan dilema Abu Bakar ketika membuat keputusan tentang perkara-perkara berkenaan dirungkaikan dengan menyeluruh.

3. Dengan membaca tulisan Muhammad Hussein Haikal, kita jadi memahami bahawa peristiwa yang berlaku merupakan hasil keputusan hidup mati Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Umat Islam di Madinah hampir berpecah-belah kerana isu pelantikan Khalifah. Antara Muhajirin dan Ansar, siapakah
yang lebih berhak menjadi Khalifah? Isu ini memberi kita gambaran kepasrahan Ansar yang sanggup mengenepikan semangat perkauman mereka untuk memberi jawatan tersebut kepada Muhajirin.

Cara Abu Bakar meredakan perasaan gusar kaum Ansar amat berkesan. Beliau sabar dan langsung tidak hilang pertimbangan walaupun terpaksa menghadapi tentangan beberapa kumpulan kecil Ansar yang tetap mempertahankan hak mentadbir milik penduduk asal Madinah. Namun dengan kebijaksanaan beliau berlembut dan meyakinkan Ansar, kemelut itu dapat diselesaikan.

4. Muhammad Hussein Haikal membawa kita meneliti peristiwa umat Islam yang sekali lagi berhadapan dengan ancaman perpecahan apabila munculnya golongan murtad di seluruh pelosok Semenanjung Arab. Golongan murtad yang disebutkan ini bukanlah kerana kembalinya mereka kepada penyembahan berhala tetapi sekadar mahukan autonomi sebagai sebuah pekan dan negeri merdeka yang tidak lagi memberi zakat yang dianggap sebagai ufti kepada pusat pemerintahan di Madinah.

Ini ujian getir buat kepimpinan Abu Bakar. Bukankah tidak mengapa untuk membiarkan negeri-negeri tersebut bebas merdeka mentadbir urusan mereka sendiri sekiranya mereka masih Muslim dan tidak menyembah berhala? Jawapan Abu Bakar jelas, keengganan membayar zakat ialah punca yang memecah-belahkan perpaduan orang Islam. Jika tiada ketegasan maka tentulah pemberontakan itu dibiarkan agar masing-masing dapat terus hidup aman dan damai. Di sini Abu Bakar menghantar mesej bahawa wujudnya autoriti bersama-sama kemunculan Islam.

5. Kita dapat melihat cabaran Abu Bakar memerangi kumpulan yang murtad dari satu pusat pentadbiran. Kesegeraan, pengangkutan dan perhubungan semasa memerintah pelbagai pasukan tentera yang terpecah-pecah di Semenanjung Tanah Arab ialah pengalaman baru yang terpaksa dilalui oleh pentadbiran Abu Bakar.

6. Perkara rumit yang diputuskan oleh Abu Bakar ialah keputusan beliau menggerakkan tentera Islam untuk menggempur kerajaan Lakhmid yang menjadi proksi Empayar Parsi di Iraq. Jika silap perhitungan, Empayar Parsi pasti melancarkan serangan besar- besaran terhadap Islam di Semenanjung Tanah Arab. Muhammad Hussein Haikal memberi perincian kemelut yang menyelubungi keputusan memulakan serangan tersebut.

7. Muhammad Hussein Haikal membawa pembaca memahami betapa getirnya keputusan yang perlu dibuat dalam memulakan kemaraan ke kawasan yang berada bawah pengaruh Rom. Tidak cukup dengan mendedahkan kedudukan Islam di Semenanjung Tanah Arab kepada ancaman Parsi, kini beliau cuba mengacau seekor singa yang sememangnya terkenal dalam sejarah peradaban manusia sebagai empayar besar dan agung yang memiliki segala aspek ketamadunan baik dari segi pengetahuan, seni budaya dan ketenteraan?
Bukankah kerajaan Islam yang masih di ambang penubuhannya itu begitu kerdil jika hendak dibandingkan dengan Empayar Rom yang hebat? Kebimbangan ini digambarkan oleh Muhammad Hussein Haikal dengan jelas.

8. Muhammad Hussein Haikal menyatakan bahawa dalam segala keputusan yang diambil oleh Abu Bakar, tidak ada yang dapat menyamai jasa beliau membuat keputusan mengumpulkan al-Quran sebagai sebuah mashaf. Usaha ini dibuat dengan begitu teliti untuk memastikan segala yang dihafal dalam dada para huffaz dapat dikumpulkan dengan benar. Inilah jasa sebenar beliau menurut Hussein Haikal. Dengan keputusan ini, lahirlah mashaf al-Quran yang kita kenal pada hari ini.

*Farhan dan Akmal Khuzairy adalah penterjemah bersama buku riwayat Abu Bakr as-Siddiq


Pengarang :