Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (kanan) memberi bekas air kepada pengunjung ketika melawat bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 5 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Lebih 1,600 kupon RM15 diedar di bazar Ramadan MBPJ

SHAH ALAM, 26 APRIL: Sebanyak 1,650 kupon bernilai RM15 diedarkan kepada pengunjung di 13 bazar Ramadan seluruh Petaling Jaya sehingga 17 April lalu.

Datuk Bandarnya berkata agihan kupon ‘Eco and Cashless’ yang membabitkan peruntukan RM24,750 memanfaatkan pengunjung yang membawa beg kitar semula dan bekas makanan sendiri.

“Program ini diteruskan bagi mendokong agenda Kerajaan Negeri melalui kempen bebas beg plastik selain memotivasikan penduduk serta pengunjung bazar Ramadan.

“Majlis memperuntukkan 2,000 kupon dengan jumlah keseluruhan RM30,000 untuk diedarkan di 18 bazar Ramadan sehingga akhir Ramadan,” kata Mohamad Azhan Md Amir dalam Mesyuarat Majlis Bil.4/2022 hari ini.

Sementara itu, beliau menjangkakan seramai 295,310 individu mengunjungi bazar Ramadan di 18 lokasi tahun ini berbanding 210,936 yang direkodkan pada 2021.

Menurutnya, kehadiran di bazar terbabit merekodkan 217,664 pengunjung setakat 20 April dengan lokasi tumpuan di SS6/1, Kelana Jaya; Seksyen 4, Kota Damansara dan Apartment Vista, Damansara Damai.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Azhan memaklumkan sebanyak 70 kompaun dan 116 notis dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan.

Beliau menjelaskan tindakan dibuat ketika pemantauan Jabatan Penguatkuasa ke atas 5,315 peniaga antara 3 hingga 16 April lalu.

“Sebanyak 72 kereta turut dialihkan di beberapa bazar Ramadan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya lagi.


Pengarang :