Murid-murid menerima kad vaksin selepas merima suntikan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Wira, Kuantan pada 25 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 22,000 kanak-kanak sudah lengkap vaksinasi Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Sebanyak 22,476 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun telah menerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, sejumlah 1,351,441 kanak-kanak daripada kumpulan umur yang sama atau 38 peratus daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, 15,862,983 individu dewasa atau 67.4 peratus daripada populasi itu di negara ini telah menerima dos penggalak, 22,955,496 individu atau 97.6 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 23,231,190 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 dan 17 tahun, sejumlah 2,854,727 individu atau 91.8 peratus daripada kumpulan itu telah lengkap divaksinasi, manakala 2,949,995 individu atau 94.9 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 22,081 dos vaksin telah diberikan semalam, melibatkan 2,630 dos pertama, 8,155 dos kedua dan 11,296 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 69,016,063 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 28 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak dan Selangor merekodkan kematian tertinggi iaitu masing-masing enam kes diikuti Johor (lima), Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Pahang (dua) manakala Kedah dan Sarawak masing-masing satu kematian.

– BERNAMA


Pengarang :