Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berbuka puasa di atas bot semasa mengadakan rondaan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan dekat Kuala Linggi pada 14 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 2,500 anggota maritim ditugas perangi jenayah rentas sempadan

ALOR GAJAH, 15 APRIL: Lebih 2,500 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan ditugaskan dalam Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2022 di seluruh negara bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan, kata Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 500 anggota turut ditugaskan di perairan Sabah dan Labuan manakala 450 lagi di Sarawak.

“Kita jangkakan musim perayaan ini akan membuka ruang jenayah di laut. Jadi, operasi dari 19 April hingga 17 Mei di seluruh perairan Malaysia ini dilaksanakan bagi menggempur sebarang aktiviti jenayah di perairan terutama selepas sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota APMM di Ibu Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Iskandar Ishak.

Mohd Zubil berkata sejak Januari hingga 8 April tahun ini, APMM merekodkan 257 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai lebih RM49.2 juta manakala pada Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2021 tahun lepas, APMM merekodkan 21 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan rampasan dianggar bernilai RM38.8 juta.

“Tangkapan tersebut membabitkan pendatang tanpa izin, penyeludupan dadah, kontraban, ketum serta barangan kawalan bersubsidi melibatkan perairan Selat Melaka, Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata anggotanya turut bersedia dengan tugasan besar seperti mengawasi perjalanan kapal dagang di perairan serta isu-isu berkaitan bahagian pantai di perairan negara.

Bagaimanapun, Mohd Zubil berkata APMM membenarkan anggotanya bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini dengan 40 hingga 50 anggota bertugas secara bergilir.

“Walaupun anggota bercuti, yang utama, operasi dan penguatkuasaan masih berjalan seperti biasa. Kita faham sebab sudah dua tahun anggota tidak dapat pulang beraya kerana COVID-19,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :