Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Norita Mohd Sidek (kanan) berbual bersama penerima selepas majlis penyampaian Insentif Rahmah Ramadan kepada pegawai masjid kariah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Shah Alam pada 28 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 2,600 pegawai pengurusan masjid terima sumbangan MBI

SHAH ALAM, 28 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan sejumlah RM1.3 juta untuk disalurkan kepada pegawai masjid kariah di seluruh negeri ini sempena Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata sumbangan itu diagihkan kepada 2,625 penerima dari 375 masjid di seluruh Selangor.

“Seramai tujuh penerima terdiri daripada seorang nazir dan masing-masing dua iman, bilal dan siak menerima bantuan RM500 setiap seorang.

“Ia adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBI untuk menyantuni pihak pengurusan masjid pada setiap tahun. Kami harap ia mampu meringankan beban penerima ketika membuat persiapan Syawal yang bakal menjelang tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Insentif Rahmah Ramadan kepada pegawai masjid kariah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Hidayah Taman Melawati Hulu Klang Dr Muhammad Deen Mohd Napiah ketika ditemui mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Walaupun sumbangan agak lewat berbanding tahun sebelum ini tetapi saya amat bersyukur kerana Kerajaan Negeri tidak pernah lupa untuk menghulurkan bantuan kepada pihak pengurusan masjid,” katanya.

Nazir Masjid Batu 16 Rawang Nor Hashim Ahmad pula berkata wang tunai itu dapat menampung perbelanjaan ketika membuat persediaan sambutan Aidilfitri.

“Terima kasih MBI dan Kerajaan Selangor yang tidak putus-putus memberi bantuan, semoga program ini diteruskan setiap tahun,” katanya.


Pengarang :