Anggota polis memeriksa dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri beberapa penunggang motosikal pada sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan menghala ke pusat bandar bagi memastikan tiada pengguna jalan raya yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan pada 8 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 800 saman dikeluar, 30 ditahan dalam Op Samseng Jalanan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Polis Kuala Lumpur menahan 30 lelaki tempatan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan mengeluarkan 805 saman trafik dalam Operasi Samseng Jalanan yang bermula Jumaat hingga awal pagi tadi, di sekitar ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata operasi melibatkan 175 pegawai dan anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) berakhir pada pukul 4 pagi tadi.

Menurutnya, daripada 30 lelaki yang ditahan itu, 18 orang melakukan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, 10 menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing, manakala dua lagi melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 51 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 45(A), Seksyen 42(1) dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Sebanyak 36 motosikal turut disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sarifudin berkata Op Tutup yang dilaksanakan Jumaat lepas menumpukan kepada kereta yang diparkir di sepanjang Jalan Raja Laut serta melakukan kesalahan membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.

“Sebanyak 27 motokar telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan dan akan diambil tindakan serta pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya.

Sarifudin berkata pihaknya akan terus meningkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan, kesalahan lalu lintas serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran.

-BERNAMA


Pengarang :