Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 3 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki samun bank, hadapi pertuduhan bunuh anggota polis

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Seorang lelaki yang terbabit kes rompakan dan menembak mati pengawal van keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya bulan lepas, kini turut menghadapi pertuduhan membunuh seorang anggota polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata tangkapan lelaki berusia 38 tahun itu berjaya merungkaikan kes pembunuhan anggota polis yang sedang bertugas di balai polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada 2017.

“Kehilangan pistol milik anggota itu juga terjawab dengan rampasan sepucuk pistol semiautomatik jenama Walther P99 daripada tertuduh dan siasatan mendedahkan pistol yang sama digunakan dalam kes rompakan bank yang melibatkan tertuduh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata lelaki itu berdepan tujuh pertuduhan iaitu menembak mati pengawal keselamatan, cubaan membunuh, dua pertuduhan memiliki senjata api dan tiga pertuduhan samun bank bersenjata api sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor.

“Pertuduhan dibuat di Mahkamah Shah Alam hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, selain Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Katanya, bagi pertuduhan memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol semiautomatik jenama Walther P99, lelaki tersebut didakwa mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan.

Bagi pertuduhan kedua memiliki senjata api, Abd Jalil berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pada 11 Mac lepas, lelaki itu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merompak dan menembak mati pengawal van keselamatan.

– BERNAMA


Pengarang :