Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan pada 3 April lalu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Lelaki tetak empat ahli keluarga dipenjara 15 tahun, lapan sebatan

KOTA TINGGI, 26 APRIL: Seorang pemandu lori dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap empat ahli keluarganya dengan menggunakan parang panjang.

Hakim Norsiah Ujang menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hadi Hashim, 38, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 20 April lepas.

Bagi keempat-empat pertuduhan, Mohd Hadi didakwa mendatangkan cedera parah terhadap ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57, isterinya Norwahida Rosli, 33; adik ipar perempuan, Norwadiha Rosli, 32; dan adik ipar lelaki, Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16.

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, di sini kira-kira 7.45 malam, pada 14 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326 (A) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat dan boleh dijatuhi hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, tertuduh mencederakan ibu mentuanya terlebih dahulu dengan menekup muka mangsa lalu bertindak mengambil parang panjang berukuran 79 sentimeter (cm) dan menetak kepala mangsa.

Tertuduh kemudian menyerang adik ipar perempuan yang cuba menolong ibunya, seterusnya menyerang adik ipar lelakinya yang ketika itu cuba menghubungi pihak berkuasa serta isterinya yang bersembunyi di dalam bilik sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta.

Terdahulu peguam Nurshuhadah Mahzan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Mohd Hadi memaklumkan kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tertuduh yang hilang pertimbangan kerana sering diasak ibu mentua berkaitan dengan wang berjumlah RM4,000.

“Akibat daripada keletihan kerana baru pulang bekerja, tertuduh telah bertindak sedemikian yang merupakan perkara yang telah disesalinya sebelum menyerah diri secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada 20 April,” katanya yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan berjalan serentak ke atas anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perbuatannya itu melibatkan nyawa, selain faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

“Tertuduh mendatangkan kecederaan parah terhadap keempat-mangsa mangsa yang kesemuanya ahli keluarga tertuduh dengan sebilah parang panjang berukuran 79cm dan hal ini boleh mendatangkan kematian,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :