Sebahagian daripada 6,659 penerima dari daerah Gombak memperoleh agihan bantuan Ramadan dan Aidilfitri daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Al-Syakirin, Gombak pada 3 April 2022. Foto LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih lebih RM3 juta bantuan Ramadan untuk asnaf, mualaf di Gombak

SHAH ALAM, 3 APR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan lebih RM3 juta kepada 6,659 penerima menerusi program bantuan Ramadan dan Hari Raya di daerah Gombak, hari ini.

Agensi itu memaklumkan penyerahan itu diadakan di Masjid As-Syakirin dan dirasmikan Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah Zainuddin Johari.

“Seramai 6,659 penerima ketua keluarga yang terdiri dari golongan asnaf fakir miskin dan mualaf dengan jumlah bayaran sebanyak RM3,026,250 diperuntukkan bagi daerah Gombak pada tahun ini.

“Selain wang tunai, barangan makanan kering turut diberikan kepada penerima pada program ini dalam meringankan bebanan bagi menyambut Ramadan Al-Mubarak,” katanya menerusi Facebook.

Sebanyak RM28,637,750 diagih LZS kepada 62,769 asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri bermula pada 29 Mac lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak RM9,063,050 diagih kepada 18,630 penerima asnaf fakir, RM18,250,400 untuk 39,955 asnaf miskin dan RM1,322,300 kepada 4,184 mualaf.


Pengarang :