Ahli Pemegang Amanah LZS Dato’ Dr Abdul Rahman Abdullah (dua,kiri) menerima zakat perniagaan berjumlah RMRM765,545.72 daripada Pegawai Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank Islamic Berhad, Dato’ Mohamed Rafique Merican (dua,kanan) di Dewan Orked, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Shah Alam pada 26 April 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKIN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS terima zakat perniagaan RM3.5 juta daripada 43 syarikat

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima bayaran zakat perniagaan daripada 43 syarikat dengan nilai keseluruhan RM3.5 juta.

Maybank Islamic Berhad mendahului senarai pembayar zakat berjumlah RM765,545.72 diikuti CIMB Islamic Bank (RM600,000), Utas Maju Sdn Bhd (RM237,129.66) dan Takaful Malaysia (RM200,000).

Syarikat lain yang turut menunaikan zakat perniagaan adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan berjumlah RM176,440.27, Bank Simpanan Nasional (RM170,000) manakala Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd dan Hospital Pakar KPJ Selangor masing-masing RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berharap bayaran zakat itu menjadi contoh kepada syarikat lain untuk tampil sebagai pengeluar zakat sekali gus memenuhi kewajipan Islam.

“Agihan zakat kepada asnaf tidak dapat direalisasikan tanpa adanya pengeluar zakat. Kesemua ini adalah sebahagian daripada 2.5 peratus zakat yang diamanahkan kepada kami untuk disalurkan kepada mereka memerlukan.

“Mudah-mudahan perniagaan mereka lebih maju dan barakah,” katanya ketika berucap pada majlis iftar di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini semalam.

Dalam majlis itu, LZS turut menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM1 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi program sanitasi masjid dan surau.

Selain itu, bantuan berjumlah RM181,800 diserahkan kepada Institut Latihan Islam Malaysia pembangunan aplikasi glosari bahasa isyarat Islam untuk keperluan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.

Agensi terbabit turut menyampaikan bantuan alatan perubatan bernilai RM15,000 kepada seorang individu yang menghidap masalah paru-paru.

Lima mahasiswa asnaf tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga menerima bantuan komputer riba.


Pengarang :