Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bersama Pengarah Operasi Cawangan 99 Speedmart Sdn Bhd Yong Eng Kwang (empat kiri) selepas majlis penyerahan sumbangan minggu lalu. Foto Facebook Mais
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais terima 500 kotak makanan sumbangan 99 Speedmart

SHAH ALAM, 26 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima 500 kotak makanan hasil sumbangan pasar raya 99 Speedmart Sdn Bhd (99 Speedmart).

Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kotak bernilai RM40 setiap satu itu mengandungi barangan seperti emping jagung atau cornflakes, santan, biskut, keropok kentang dan air minuman.

“Sumbangan ini akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan iaitu asnaf fakir dan miskin bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

“Terima kasih 99 Speedmart atas keprihatinan untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Insya-Allah agihan ini akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak Lembaga Zakat Selangor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Penyerahan kotak makanan itu dilakukan oleh Pengarah Operasi Cawangan 99 Speedmart Yong Eng Kwang kepada Abdul Aziz minggu lalu.

Sementara itu, Eng Kwang berharap kerjasama itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Daerah LZS Zainuddin Johari dan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar.

LZS adalah institusi zakat di bawah Mais yang bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti kutipan dan agihan zakat di negeri Selangor.


Pengarang :