Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berucap ketika menghadiri Pameran Seni Ekspresi Autisma (Sesama) sempena Hari Kesedaran Autisma Sedunia 2022 di Muzium Telekom, Kuala Lumpur pada 2 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Majikan perlu sediakan borang pekerjaan mesra OKU – Ras Adiba

KUALA LUMPUR, 2 APR: Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi memohon badan-badan kerajaan atau swasta untuk menyediakan borang permohonan pekerjaan yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Ras Adiba yang juga Ahli Dewan Negara berkata ini penting bagi memastikan golongan OKU tidak didiskriminasi semasa memohon pekerjaan sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang borang pekerjaan kebanyakan majikan didapati tidak menyediakan ruang pilihan mengenai tujuh kategori OKU seperti diperuntukkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita kena pastikan memberi peluang kepada OKU kerana borang yang mereka isi mestilah mempunyai sedikit ciri ramah (mesra) kerana sesetengah OKU kalau dinyatakan kecacatan sahaja terus tidak diberi peluang.

“Saya tidak berkata mereka (majikan) tidak mahu mengambil (bekerja), cuma kita berharap mereka memberi peluang kalau boleh…sila tandakan apakah kategori, sekurang-kurangnya ada tujuh kategori itu. Dengan ini kita akan bersikap terbuka dan tidak mendiskriminasikan golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Pameran Seni Ekspresi Autisme sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2022 di sini hari ini. Pameran bertempat di Muzium Telekom Jalan Raja Chulan di sini, akan berlangsung selama sebulan sehingga 30 April depan.

Tujuh kategori OKU yang diiktiraf JKM adalah kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, kurang upaya pertuturan, kurang upaya pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai.

Mengenai kuota khas sekurang-kurangnya satu peratus peluang pekerjaan bagi OKU melalui program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) 2022, Ras Adiba berkata bagi mencapai sasaran itu, majikan perlu menyediakan program ‘Disability Equality Training’ (DET) supaya majikan dan rakan sekerja dapat memahami dan menyokong golongan berkenaan di tempat kerja.

Sementara itu, seorang pelukis austime Izzati Shahrin, 28, berharap dapat menjual beberapa lukisannya itu sempena pameran seni berkenaan selepas terputus pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Pameran ini adalah peluang untuk golongan autisme dan OKU untuk memperoleh pendapatan dan setiap hasil seni bukan sahaja untuk lukisan tetapi karya itu akan dicetak ke bentuk lain seperti baju, cawan dan cenderahati,” kata ibu Izzati, Zuraini Anuar, 60.

Izzati mula melukis sejak berusia lima tahun dan dia mendapat ilham melalui pengalaman dan pemerhatian di sekelilingnya.

– BERNAMA


Pengarang :