Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman beramah mesra dengan pelajar dan kakitangan yang menyertai majlis berbuka puasa di Masjid Unisel, Bestari Jaya. Foto Facebook Unisel.
AGENSI SELANGOR

Majlis iftar erat hubungan pelajar, kakitangan Unisel

SHAH ALAM, 23 APRIL: Universiti Selangor (Unisel) mengadakan majlis berbuka puasa bersama kakitangan dan mahasiswa di Masjid Unisel kampus Bestari Jaya pada Khamis lalu.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel berkata, majlis itu dihadiri Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman serta pelajar dari kampus Bestari Jaya dan Shah Alam.

“Majlis berbuka puasa ini adalah acara tahunan universiti bagi mengimarahkan lagi kedatangan bulan Ramadan yang disambut oleh warga Unisel yang beragama Islam, selain merapatkan lagi hubungan antara warga universiti ini,” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan di Facebook Unisel.

Dr Mohammad Redzuan pula berkata, tahun ini sangat istimewa selepas dua tahun acara keraian seperti majlis berbuka puasa tidak dapat dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid-19.

“Kita mengambil peluang daripada kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) untuk berkumpul bersama-sama bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai kegiatan keagamaan.

“Ia juga menjadi kegiatan wajib agar nilai kekeluargaan dalam kalangan warga universiti sentiasa utuh,” katanya.

Majlis berbuka puasa itu turut disemarakkan dengan penyampaian tazkirah ringkas oleh Pengarah Pusat Islam Unisel, Abdul Razak Aripin dan seterusnya solat terawih berjemaah.


Pengarang :