Jemaah haji melakukan tawaf Kaabah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia dapat 14,306 kuota haji tahun ini

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad pada majlis pengumuman jumlah kuota haji Malaysia bagi 1443H hari ini yang disiarkan menerusi media sosial dan stesen televisyen tempatan.

Jumlah kuota itu menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

“Tahun ini Arab Saudi hanya membenarkan satu juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan haji dengan 85 peratus adalah jemaah luar iaitu lebih tinggi daripada tahun 2019 dengan jemaah luar hanya dibenarkan 75 peratus sahaja,” katanya.

Idris berkata antara syarat yang dikenakan ke atas jemaah haji tahun ini ialah mereka mesti berusia 65 tahun ke bawah, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

Idris berkata kesemua syarat yang ditetapkan bertujuan demi memastikan kesihatan dan keselamatan kesemua jemaah haji dari seluruh dunia.

“Kerajaan Arab Saudi tentunya telah membuat penilaian serta penelitian dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan para jemaah haji untuk melaksanakan Rukun Islam kelima terjamin.

“Tabung Haji (TH) kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19.

“Saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia,” katanya.

Beliau berkata jemaah diminta membuat persediaan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan serta bersedia dengan dokumen berkaitan termasuk pasport dan perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan bantuan pembayaran bagi jemaah haji pada tahun ini dan ketetapan bayaran baharu akan diumumkan pengurusan TH, esok.

Bagi pihak kerajaan Malaysia, Idris menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia.

“Ini adalah satu berita baik buat umat Islam di Malaysia yang telah menunggu selama dua tahun akibat pandemik Covid-19. Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah bersama-sama dari lubuk hati yang dalam, kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga atas berita gembira ini,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :