Penduduk Palestin mengibarkan bendera berhampiran Masjid Al-Aqsa di Old City Jerusalem pada 21 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Malaysia kecam tindakan biadab Israel serang Masjid Al-Aqsa

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap Tentera Rejim Israel yang menyerang umat Islam Palestin termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata perbuatan keji serta tidak berperikemanusiaan itu amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku terutama pada Jumaat apatah lagi umat Islam Palestin sedang berpuasa serta menunaikan ibadah ketika Ramadan.

“Tindakan Tentera Rejim Israel yang turut menyasarkan wanita dalam serangan itu, satu tindakan yang kejam dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Saifuddin menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Palestin.

Sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera susulan pertempuran antara tentera Israel dan rakyat Palestin apabila tentera menyerbu perkarangan masjid selepas solat subuh pada Jumaat.

— BERNAMA

 


Pengarang :