Orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan dalam media sosial yang menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Mangsa Macau Scam di Negeri Sembilan rugi lebih RM4.5 juta

SEREMBAN, 23 APRIL: Kes Macau Scam di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 144 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian kira-kira RM4.56 juta bagi tempoh Januari hingga 21 April lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani.

Beliau berkata kes tersebut menunjukkan peningkatan 336 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 33 kertas siasatan dibuka melibatkan jumlah kerugian RM930,000 bagi tempoh sama.

Aibee berkata terbaharu, polis menerima dua laporan penipuan daripada dua wanita melibatkan kerugian RM1.58 juta pada tiga hari lepas.

“Kes pertama melibatkan warga emas berusia 77 tahun mengalami kerugian RM1.186 juta, pengadu merupakan pesara kerajaan menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata wanita tersebut dikatakan mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat milik mangsa sebanyak RM18,336 namun telah dinafikan, kemudian panggilan tersebut disambung kepada beberapa individu lain yang menyamar sebagai polis.

Wanita itu telah diperdaya sehingga menyebabkan mangsa memberikan maklumat lengkap sembilan akaun bank serta nombor kad pengenalan kepada individu tidak dikenali itu.

Aibee berkata kes kedua melibatkan seorang guru berusia 39 tahun berasal dari Sabah dan menetap di Nilai, ditipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN sebanyak RM394,358.

“Wanita itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai RM38,000, kemudian panggilan itu disambung kepada individu lain dan mendakwa mangsa juga terlibat dalam kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau berkata wanita itu turut membuat pinjaman peribadi dengan beberapa bank bagi menyelesaikan tunggakan cukai dan segala kesulitan yang dimaklumkan tersebut sehingga melakukan beberapa kali transaksi ke empat akaun bank berlainan.

Justeru, polis mengingatkan orang awam supaya tidak melayan sebarang panggilan yang meminta maklumat diri terutamanya akaun peribadi.

– BERNAMA

 


Pengarang :