AGENSISELANGOR

Mayat lelaki ditemukan terdampar di Sungai Klang

SHAH ALAM, 27 APRIL: Mayat seorang lelaki dalam lingkungan 30-an ditemui terdampar di Sungai Klang berhampiran jambatan besi Desa Mentari, Petaling Jaya semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mayat berkenaan ditemui orang awam yang kemudian membuat panggilan kecemasan jam 9.05 malam.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mayat lelaki itu berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata Norazam Khamis seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, seorang pemandu cedera parah selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Glenmarie di sini, awal pagi tadi.

Menurut Norazam, lelaki berusia 20 tahun itu yang memandu dari Subang menghala Lebuhraya Persekutuan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Kereta tersebut terputus dua dan bahagian hadapan terseret sejauh 50 meter manakala bahagian belakang terbakar,” katanya.


Pengarang :