SELANGOR

Mayat lelaki tanpa identiti dijumpai di tepi jalan Sepang-Salak

SEPANG, 15 APRIL: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan di tepi Jalan Sepang-Salak di sini pagi tadi, dengan kesan kecederaan di perut serta tangan terikat dengan wayar kabel.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.32 pagi daripada seorang individu yang menghubungi Balai Polis Sepang.

Beliau berkata mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan berpakaian baju kemeja-T warna putih berkolar, berseluar panjang hitam dan pelitup muka di bawah dagu, dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an serta tiada kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada bahu.

Beliau berkata lokasi kejadian merupakan kawasan yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan pemeriksaan di sekitar kawasan penemuan mayat menjumpai satu unit sarung sabit, tiga puntung rokok, gumpalan rambut dan kesan darah berhampiran mangsa.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat.

Wan Kamarul Azran turut meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :