Dato’ Menteri Besar, Dato Amirudin Shari, membuat lawatan ke gerai peniaga bazar ramadan selepas merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Penjaja Melalui Inisiatif Platform Selangor (PLATS) di Bazar Ramadan BK5, Subang Jaya pada 8 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 10,000 usahawan disasar sertai PLATS 3.0 tahun ini

SUBANG JAYA, 8 APRIL: Seramai 10,000 usahawan mikro disasar menyertai Platform Selangor (PLATS) 3.0 tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan PLATS 3.0 lebih memudahkan usahawan mendaftar perniagaan mereka.

“PLATS 3.0 diteruskan untuk membantu peniaga membuat transformasi perniagaan dan bukannya bersaing dengan perkhidmatan lain. Keberkesanan jelas apabila bermula dengan 163 peniaga dan pada hari ini lebih 7,000 usahawan mikro berdaftar dibawahnya.

“Program ini bukanlah bermusim tetapi berterusan dengan kerjasama Rakan Digital Selangor (RDS) yang akan bantu peniaga menggunakan platform e-dagang untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan PLATS 3.0 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong di sini yang turut dihadiri EXCO Usahawan Rodziah Ismail, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Dato’ Menteri Besar, Dato Amirudin Shari bersama Exco Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bergambar bersama selepas merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Penjaja Melalui Inisiatif Platform Selangor (PLATS) di Bazar Ramadan BK5, Subang Jaya pada 8 April 2022.Turut sama Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahir Iskandar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI merupakan pemangkin PLATS 3.0 yang dilaksana oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menerusi Rakan Digital Selangor (RDS).

Pelaksanaan PLATS 3.0 pada kali ini turut melibatkan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membantu mempercepat penyertaan usahawan dan peniaga.

PLATS diperkenal Ramadan pada dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.


Pengarang :